Suamiku Anak Mak: Mak Mentua Oh Mak Mentua! Aku Tak Nak Jadi Mak Leha 2.0
Suamiku Anak Mak: Aku Tak Nak Jadi Mak Leha 2.0
Sejak tengok drama Suamiku Anak Mak , Nina pun terjebak rasa nak komen.
Geram tengok Harris. Menyampah dengan Mak Leha. Kadang-kadang tengok Pak Leman pun rasa nak tepuk dahi dia!
Pak Leman ni sebenarnya watak suami ke perabot rumah?
Ada, tetapi bila diperlukan macam tak ada.
Tapi itulah, kalau difikirkan balik, drama ini bukan sekadar cerita tentang anak lelaki yang terlalu ikut cakap mak. Ia juga cerita tentang bagaimana perangai dan cara kita dibesarkan boleh mempengaruhi kehidupan apabila sudah berkeluarga.
Mak Kita, Tetapi Tak Semestinya Pengalaman Kita Sama
Abang Haris - dia dapat Mak versi dia ditatang bagai minyak yang penuh
Kimi - dia dapat Mak versi yang tenang
Hani - dia dapat Mak versi yang boleh buat jadi kawan
Acap - Acap dapat Mak yang versi lain dari diaorang laaa
Satu perkara yang menarik, Mak Leha ada beberapa orang anak. Tetapi setiap seorang nampaknya menerima versi mak yang berbeza.
Ada yang ditatang bagai minyak yang penuh.
Ada yang selalu kena marah.
Ada yang pandai membawa diri supaya tidak terkena tempias.
Ada pula yang menjadi tempat mak meluahkan segala perasaan.
Jangan pelik kalau seorang anak puji maknya baik sangat, sedangkan seorang lagi kalau boleh nak pindah planet. Oh Noooooo...!! Hopefuly anak Nina tak pernah terfikir macam ni. HAhaa
Acutally Nina setuju sangat.
Nota Seorang Mak untuk anak
She was doing her best for you!
Mak pun berat emosi kena melayan anak-anak yang pelbagai versi juga.
Tak ada manusia sekuat Mak walaupun zahirnya nampak lemah. Dan tak ada manusia lain yang akan terima kamu dikala kamu tak ada apa-apa selain Mak.
Kahwin Dengan Anak Mak, Dapat Sekali Pakej Mak Dia
Sayang mak memang bagus. Anak yang menghormati ibu bapa pun satu rezeki. Tetapi kalau setiap kali mak merajuk, isteri pula yang kena mengalah, itu bukan lagi romantik. Itu dah macam sistem pengurusan aduan keluarga. Semua aduan isteri dihantar kepada bahagian mak mentua.
Ia mungkin sudah terbentuk sejak kecil.
Sebab itu sebelum berkahwin, elok juga perhatikan bagaimana pasangan menguruskan keluarganya.
Tetapi seorang lelaki perlu tahu bahawa selepas berkahwin, dia ada amanah baru. Mak tetap mak, isteri tetap isteri. Dua-dua ada tempat masing-masing.
Saya Tak Nak Jadi Mak Leha 2.0
Ini bahagian yang saya rasa paling penting.
Nina selalu percaya kita mungkin tak boleh memilih keluarga tempat kita dilahirkan, tetapi kita boleh belajar memilih cara kita membina keluarga sendiri.
Nina suka satu konsep yang dipanggil BREAK THE CIRCLE
Kalau dulu kita dibesarkan dengan suara tinggi, tak bermakna kita perlu membesarkan anak dengan cara yang sama.
Kalau dulu kita tak pernah diberi peluang bersuara, jangan pula kita menutup mulut anak sendiri.
Kalau dulu kita pernah terasa hati dengan mak mentua, jangan apabila sudah menjadi mak mentua nanti kita balas dendam kepada menantu.
Eh, jangan pula simpan senarai kesalahan mak mentua sejak zaman pengantin baru, kemudian tunggu giliran jadi mak mentua untuk buat pembalasan. Itu bukan healing, itu projek balas dendam. Nehi nehi..!!
Saya tak mahu jadi Mak Leha 2.0.
Ibu bapa pun manusia. Ada masa kita silap, ada masa kita terlebih emosi. Yang penting, kita belajar mengaku salah dan memperbaiki diri.
Jangan Sampai Anak Kita Sambung Drama Musim Kedua
Kadang-kadang kita terlalu sibuk melihat kesalahan orang lain.
Kita nampak Mak Leha toksik. Kita nampak Harris tak pandai jadi suami. Kita nampak Pak Leman tak berfungsi sebagai ketua keluarga.
Tetapi pernah tak kita fikir, bagaimana pula perangai kita sendiri?
Adakah kita sedang mengulangi perkara yang sama tanpa sedar?
Dulu kita tak suka dikawal, sekarang kita mengawal anak sampai nak beli ais krim pun kena bentang kertas kerja. Ayooo tak tahu!
Dulu kita tak suka dibandingkan, sekarang kita pula membandingkan anak-anak. Acaner tuh?
Dulu kita marah sebab mak selalu masuk campur rumah tangga, sekarang kita sendiri rajin masuk campur rumah tangga anak. Nehi nehi..!
Alamak! Jangan-jangan kita pun ada watak sampingan dalam drama ini.
Break The Circle
Bagi Nina, BREAK THE CIRCLE bukan bermaksud kita perlu membenci ibu bapa atau menyalahkan generasi terdahulu.
Ia tentang kesedaran untuk tidak mewariskan perkara yang menyakitkan.
Kita ambil yang baik, kita perbaiki yang kurang baik. Tak perlu semua benda lama dibawa masuk ke rumah baru. Kita cipta keluarga baru versi kita sendiri.
Akhirnya, Nina harap anak-anak membesar dengan kenangan yang baik tentang zaman kanak-kanak mereka. Bukan kenangan yang suatu hari nanti perlu mereka habiskan bertahun-tahun untuk pulihkan.
Nina nak jadi ibu yang anak-anak rindukan, bukan ibu yang anak-anak perlukan cuti panjang untuk berehat daripadanya. Setuju tak?
Dan kalau satu hari nanti Nina jadi mak mentua, harap-harap menantu tak perlu buka group WhatsApp rahsia bertajuk : Surviving Mak Mentua
Cukuplah drama di televisyen. Jangan sampai keluarga sendiri dapat slot tayangan perdana!
You hope my dear, you hope. Doakan kita jadi mak mentua syurga paling penyayang tau. Aamiinnn


Comments
Post a Comment